Sunday, January 01, 2017

OP78F YBhg Jeneral Dato’ Sri Hj Affendi bin Buang TUDM


SUBANG, 21  Dis 16 - Satu istiadat perbarisan sempena persaraan Panglima Tentera Udara yang ke-17, YBhg Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Roslan bin Saad TUDM telah diadakan di Pangkalan Udara Subang pada 21 Disember 2016. Istiadat perbarisan ini diadakan sebagai penghormatan terakhir oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) khas kepada YBhg Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Roslan bin Saad TUDM yang akan bersara dari perkhidmatan pada 27 Mei 2017 selepas 42 tahun menabur bakti di dalam perkhidmatan ATM khususnya TUDM.

Di dalam istiadat yang penuh gemilang ini, YBhg Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Roslan bin Saad TUDM telah mengambil tabik hormat dan memeriksa perbarisan yang terdiri daripada 22 pegawai dan 337 anggota lain-lain pangkat yang diketuai oleh Leftenan Kolonel Raja Abdul Latif bin Raja Ahmad TUDM. Selain itu, istiadat perbarisan ini turut dipersembahkan dengan lintas hormat pesawat TUDM melibatkan Formasi Helikopter iaitu 2 buah pesawat helikopter EC725 bersama sebuah pesawat helikopter Nuri diikuti Formasi Angkut iaitu sebuah pesawat A400M bersama 2 buah pesawat angkut C130H dan Formasi Pejuang iaitu 3 buah pesawat pejuang FA-18D dan 3 buah pesawat pejuang MiG29N.

Istiadat perbarisan ini juga menyaksikan Upacara Pemakaian Pangkat “Jeneral TUDM” kepada YBhg Leftenan Jeneral Dato’ Sri Hj Affendi bin Buang TUDM yang mengambil alih tugas secara rasmi daripada YBhg Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Roslan bin Saad TUDM sebagai Panglima Tentera Udara ke-18 berkuatkuasa pada hari ini. Upacara ini telah disempurnakan oleh YBhg Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Roslan bin Saad TUDM.

Di akhir acara, YBhg Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Roslan bin Saad TUDM bersama isteri YBhg Puan Sri Datin Sri Khairani binti Mohd Zain telah dibawa berarak dengan menggunakan pesawat pejuang FA-18D dan diiringi bersama oleh Pegawai-pegawai Kanan, pegawai-pegawai dan anggota-anggota TUDM menuju ke pesawat helikopter AS-61N1 untuk diterbangkan bagi meninggalkan Pangkalan Udara Subang. Persaraan Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Roslan bin Saad TUDM telah menyaksikan satu lagi kehilangan besar sebutir permata berharga TUDM yang sukar dicari ganti.



No comments:

Blog Archive - See more pic

Followers

Contributors